Dalam kejadian pada pukul 3.20 petang itu, ketiga-tiga penjenayah berkenaan terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah sepasukan anggota polis yang telah mengekori kereta Perodua Kancil dinaiki mereka.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kehadiran tiga pengganas tersebut dan menghantar sepasukan anggota untuk melakukan siasatan.

“Apabila menyedari kehadiran polis, suspek membelok masuk ke sebuah ladang sawit dan berhenti lebih kurang satu kilometer dari jalan besar Kalabakan-Keningau.

“Kesemua suspek berusia an­tara 20 hingga 40-an itu bertindak agresif dengan melepaskan beberapa das tembakan sehingga menyebabkan anggota polis mencari tempat berlindung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fadil berkata, seorang daripada suspek turut dikesan berlari ke arah ladang berkenaan sambil melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis rifel M16 5.56 milimeter.

Katanya, tiada anggota polis yang tercedera dalam kejadian itu dan hasil pemeriksaan ke atas badan suspek dan kenderaan digunakan me­nemukan beberapa lagi senjata api.

“Hasil pemeriksaan, polis me­nemukan sepucuk pistol revol­ver, rifel dan sebilah pedang sa­murai disyaki digunakan suspek. Turut ditemui sarung tangan dan topeng,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Senjata Api Penalti Berat (FIPA) 1971 manakala identiti kesemua suspek masih belum dikenal pasti.

Dalam pada itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali dijangka melakukan sidang akhbar berhubung kes tersebut.