Berlaku adil kepada Al-Quran (BRUNEI DARUSSALAM)

Jumat, 2 Maret 2018 | 7:49 pm | 383 Views |
1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading...
                                                                     

Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengurniakan titah pada majlis tersebut.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Seluruh rakyat di Negara Brunei Darussalam seharusnya merasa bersyukur di atas limpahan taufik serta hidayat daripada Allah S.W.T kerana tetap istiqamah mengadakan musabaqah Tilawah Al-Quran dan meletakkan Al-Quran itu pada tempatnya yang wajar untuk dipelajari dan dihayati dengan sebaiknya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan yang bertemakan ‘Al-Quran Sumber Kepimpinan Adil’, malam tadi.

Baginda antara lain menzahirkan rasa gembira melihat perkembangan negara dalam bidang Al-Quran yang sentiasa diambil perhatian serta turut dipandang tinggi kedudukannya di negara ini.

“Di samping musabaqah peringkat ini, Beta juga gembira mengetahui, bahawa di sana ada beberapa musabaqah lagi yang bukan hanya dalam bidang bacaan, malahan juga hafazan dan pemahaman. Ini pun satu lagi cara kita berlaku adil kepada Al-Quran, kerana Al-Quran selain untuk dibaca, ia juga adalah untuk difahami dan dihayati.” Pengajaran dan pembelajaran Al-Quran di negara ini turut diambil perhatian sebagai contoh di sekolah agama, mata pelajaran Al-Quran merupakan salah satu mata pelajaran yang penting yang diajarkan sejak dari peringkat sekolah lagi.

Sementara itu, di sekolah-sekolah menengah umum di negara ini turut memuatkan tafsiran dan pemahaman Al-Quran. Begitu juga dengan pendidikan di sekolah-sekolah Arab di pelbagai peringkat dan institut tahfiz Al-Quran yang mengajarkan Al-Quran serta ilmu-ilmu yang berkaitan, titah Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengurniakan titah pada majlis tersebut.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan piala pusingan kepada johan qariah, Hajah Nurfaezah binti Haji Emran.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan piala pusingan kepada johan qari, Haji Muhd Fikri bin Haji Awang Metussin.

Sementara itu, Baginda turut menyarankan agar pengajian dan pembelajaran Al-Quran terus giat dilaksanakan pada peringkat pengajian tinggi dan universiti seperti di Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

“Beta percaya, memang wajar bagi para mahasiswa yang berkenaan untuk memahami Al-Quran. Jika mahasiswa dalam bidang agama dan guru-guru agama tidak atau belum memahami Al-Quran, maka siapa lagi? Kita pernah mendengar golongan orientalis turut memahami Al-Quran kerana mereka bersungguh-sungguh berusaha untuk itu, maka mengapa mahasiswa kita tidak berusaha?

“Bagi masyarakat umum pula, kita masih boleh belajar menurut kadar kemampuan masing-masing.”

Baginda Sultan di akhir titah turut mengucapkan tahniah kepada para qari dan qariah yang berjaya ke peringkat akhir dan pemenang yang terpilih mewakili negara ke Musabaqah Tilawah Al-Quran Antarabangsa nanti.

Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan

Gambar oleh Syahmi Hassan

Related Post