Inilah cerpen “Tapak Tangan” karya Mussidi cerpenis Brunei Darussalam

Minggu, 6 Januari 2019 | 4:55 pm | 551 Views |
1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading...
                                                                     

Mengenal Sastrawan Brunei Darussalam

”Kumpulan cerpen tapak tangan yang sudah lama ingin saya kongsikan – inilah karya-karya mutakhir saya bersama ilustrasi-ilustrasinya sekali  selamat memabaca,” –MUSSIDI

LAHIR di Bandar Brunei (sekarang BSB) ibu negeri Negara Brunei Darussalam pada 22hb Jun 1955, Mussidi nama pena Hj Morshidi bin Hj Marsal, anak seorang Guru Besar, pada awal pendidikannya telah bersekolah di beberapa buah sekolah di keempat-empat buah daerah Negara Brunei Darussalam: – Sekolah Melayu.Kiudang di Daerah Tutong – 1961, – Sekolah Melayu. Sultan Hassan, Bangar di Daerah Temburong -1963, Sekolah Melayu Birau di Daerah Tutong -1964, Maktab Anthony Abell, Seria di Daerah Belait – 1966, dan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddin di Daerah Brunei Muara – 1974.

Pada tahun 1974 ia mendapat dermasiswa Kerajaan Brunei untuk melanjutkan pelajaran ke Dartington College of Arts, Totnes, Devon di United Kingdom dengan memperolehi Diploma of Art and Design in Education – 1977 dan Cert. of Special Studies in two-dimensional expression – 1978. Pada tahun 1988 kembali semula ke UK menuntut di Coventry Polytechnic mengikuti kursus setahun Postgraduate Diploma in Electronic Graphics.

Sekarang sudah bersara setelah berkhidmat sebagai perekabentuk kanan di Radio Television Brunei Darussalam

 
Mula menulis cerpen pada awal tahun lapan puluhan dan karya-karyanya telah diterbitkan di Brunei, Malaysia dan Singapura. Cerpen pertama yang diterbitkan ialah “KECOH” di majalah Mastika (Sept. 1981).
Cerpen pertama yang ditulis pula ialah “Masalah-masalah” untuk menyertai peraduan menulis cerpen (menang hadiah pertama) sempena sambutan Israk Mikraj (1981) anjuran Jabatan Hal-Ehwal Ugama Brunei. Diterbitkan di dalam antologi Suasana (dalam tulisan jawi oleh jabatan yang sama -1983). Cerpen-cerpennya telah diantologikan di dalam beberapa buah antologi perseorangan dan bersama:

KECOH – antologi cerpen perseorangan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka Brunei – 1991. Kandungan: SenyumTuk TamirPekerjaanGajiKopiahKecohJantungBebalAlhamdulillah!Alhamdulillah!Mual, Bayang-bayang, PunggungTelanjang, Dabat

A4 – novelet dan antologi cerpen perseorangan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka Brunei – 1993 kandungan: Novelet A4, cerpen: “Jangaaan!”InsomniaAmbillahSayapParanoiaRaja Segala TamanLevitasiBerita PerdanaRaja IkanAnu. TAI dan cerita-cerita lain- antologi cerpen perseorangan – Penerbitan HM – 1995. kandungan: BukitPayahCerpen CintaHajatBujang Si GandamKawanmuBibirPaksiTaiAda yang tidak betul dengan jiran saya

TUM! – Penerbitan HM – 2000. Novelet – telah disiarkan secara bersiri di majalah Bahana DBP Brunei (Februari – Julai 1995) 

NIPIS kumpulan cerpen 1981 – 2003 – CD-Rom – 2005 – kandungan CD-Rom adalah lebih kurang seperti laman web ini.

FINATUL KUBRA – antologi cerpen perseorangan yang belum diterbitkan.

antologi cerpen bersama:
SUASANA – Antologi bersama terbitan Jabatan Hal-Ehwal Ugama Brunei – 1983 (cerpen: Masalah, Suasana)
RANTAU UTARA – antologi bersama terbitan DBP Brunei – 1989 (cerpen: Arik)
PERGELUTAN HIDUP – antologi bersama terbitan DBP Brunei – 1992 (cerpen: Pergelutan)
MENITI WAKTU – antologi bersama terbitan DBP Brunei – 1993 ( cerpen:Gaji )
MAHLIGAI SYAHDU – Kumpulan Cerita Pendek pemenang peraduan menulis cerpen anjuran QAF Holdings Sdn.Bhd. – Brunei Press Sdn.Bhd – 1994, (cerpen: Seorang Suami, Seorang Isteri dan Beberapa Orang Anak
APABILA SUNGAI MENGALIR (When the river flows ..) – antologi bersama (dwibahasa Melayu/Inggeris) terbitan DBP Brunei – 1995 (cerpen: KopiahKecohPergelutan ) 
MENITI JEMBATAN USIA – – antologi cerpen dan puisi (bersama) terbitan DBP Brunei -1998 (cerpen: Berita PerdanaRaja IkanBibir, Paksi )
SUNGAI SIARAU – antologi cerpen dan puisi (bersama) terbitan DBP Brunei – 2003 (cerpen: TaiAda orang yang tidak suka pada saya dan melakukan sesuatu yang tida saya sukai terhadap saya di belakang sayaTangga ) kanak-kanak:
BASIKAL IDAMAN – antologi cerpen kanak-kanak (bersama) terbitan DBP Brunei – 1988 ( cerpen: Flok )

PULAU SENYUMAN – Bumbu Bacaan Rumi – DBP Brunei 1997 (hadiah penghargaan peraduan mengarang buku cerita bergambar – 1995)

DBP KL Malaysia: CERPEN-CERPEN NUSANTARA MUTAKHIR – antologi bersama terbitan DBP Kuala Lumpur – 1991 (tajuk cerpen Gemala )

ORANG DI JEMBATAN – antologi bersama Cerpen ASEAN terbitan DBP Kuala Lumpur – 2001 (tajuk cerpen: Ada yang tidak betul dengan jiran saya. ) 

Menang Hadiah Kreatif Bahana bagi kategori cerpen bagi tahun-tahun 1989 hingga 1997, 2000 dan terakhir sekali bagi tahun 2003.

Penerima SEA Write Award – Bangkok 1994 bagi Negara Brunei Darussalam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ini di antara karya-karyanya :

BOLA SEPAK Masa depanku yang Dibatalkan

KALAULAH  kakiku tidak patah ketika berumur 12 tahun dahulu sudah tentu aku sekarang menjadi pemain bolasepak profesional. Paling tidak aku bermain di dalam Liga Inggeris bersama Kelab Bolasepak Manchester United berganding bahu dengan Wayne Rooney, Carlos Tevez dan Barbatov bahkan lebih handal daripada Christiano Ronaldo yang suka diving itu. Aku bersyukur juga sekarang kerana kakiku dipatahkan – tidak tahu apa yang mungkin berlaku jika aku menjadi pemain bintang jutawan antarabangsa di Manchester United FC – mungkin namaku Morshidi bertukar kepada yang lebih glamor seperti Mercedes; bapaku pula akan berdukacita kerana aku sudah sombong meninggalkan segala praktik ugama Islam.

Ketika berumur sepuluh tahun aku sudah bermain di dalam pasukan orang dewasa menjadi playmaker yang licik. Aku terkenal tetapi tidak boleh bermain dalam pasukan kebangsaan kerana umur yang tidak cukup. Semasa aku berumur 12 tahun ada seorang pemain baru yang menyertai pasukan kami (sudah tentulah ia seorang yang sudah dewasa). Ia terus saja menjadi sahabat karibku dan kami bersumpah menjadi teman baik sepanjang hayat walau apa pun terjadi. Beberapa hari selepas bersumpah inilah ia membinteh kakiku sehingga patah. Tentulah aku menangis kesakitan dan efeknya bagi seorang budak 12 tahun sangatlah hebat: aku jera malah trauma bermain bolasepak. Ia menghilangkan dirinya selepas itu sehingga sekarang aku tidak mendengar khabar-berita darinya.  

Aku masih ingat bahawa ia ada mengatakan kepada teman-teman sepasukan bahawa ia adalah seorang time-traveller yang berulang-alik dari masa hadapan ke masa kini dengan tugas-tugas tertentu yang agak berat juga – teman-teman menganggap ia cuma bergurau. Tentunya antara tugas beratnya itu ialah mematahkan kakiku agar aku terhalang dari menjadi superstar pemain bolasepak antarabangsa yang kufur dan murtad yang bakal mendukacitakan bapaku yang taat berugama. Semua ini aku teringat kembali setelah berulangkali membaca Surah Al-Kahfi beserta terjemahnya terutama pada ayat-ayat yang mengisahkan tentang pertemuan Nabi Musa Alaihissalam dengan seorang Hamba Allah yang dikurniai Allah ilmu laduni.

Kebetulan teman yang membinteh kakiku sehingga patah itu namanya Khidir.

Sabtu 18 April 2009

____________________________________________________________ 

ORGAN

 

Apabila melihat bentuk tubuhnya kita tahu ia ahli bina badan. Ia kelihatannya sihat. Jadi mengapa ia mahu berjumpa saya?

“Anu,” katanya,”boleh kita mengubati *apendisaitiskah?”

“Eh, apendisaitis – atu bapotong di hospital ganya tu wang,” kata saya.

“Iatah, atu inda kumau tu,” katanya.

“Si awang ani,” kata saya, “badan tagap inda patut takut kan bapotong.”

“Bukan takut,” katanya, “inda ku trust kan bapotong di Barunai ani.”

“Aaah,” kata saya. “Bapotong ke luar negeri macam mana?”

“Gayanya tapaksatah tu,” katanya.

 “Mahal bayarannya tu,” kata saya.

“Apa boleh buat,” katanya lalu meminta izin pergi.

Ini saya ingat kembali kerana tadi di internet saya terbaca berita luar negeri dangan gambarnya: mayat seorang lelaki tidak dikenali ditemui, organ di dalam tubuhnya semua hilang. Kemungkinan perbuatan sendiket gelap perdagangan organ manusia  (terjemahan saya).

*appendicitis

Khamis 24/7/2008

____________________________________________________________

SEKOLAH   

 

SELAIN  menulis cerpen, saya juga tukang ubat penyakit zahir dan batin yang gagal disembuhi cara konvensional: misalnya dirasuk jin atau terkena pantak. Bawalah sebotol air reverse osmosis untuk saya jampi. InsyaAllah sembuh setelah diminum. Bermacam-macam penyakit telah Allah sembuhkan melalui saya.

    Inilah kali pertama saya menemui penyakit yang tidak masuk akal: seorang pemuda kacak datang kepada saya – umurnya sekitar duapuluh tahun.

    “Mohon ku diubati,” katanya.

    “Apa problem si awang kan?”

    “Aku inda mau bah muda miani.”

   “Eh, si awang ani, mengapa pulang?” kata saya. “Semua orang mau muda.”

   “Umurku sabanarnya lapanpuluh tahun,” katanya. “Dari umur limapuluh tahun kadiaku mengalami reverse ageing process – menjadi muda semula. Mula-mula memanglah suka ati tapi bila sudah batambah muda, my children start treating me like I’m one of their brats. My wife starts to be demanding inda sadar ia sudah tua – mantang-mantang aku jadi muda. And girls, pikir diurang aku ani bujang seumur bisdia…”

    “Eh kita ani, it is okey jua tu,” kata saya. Saya menggunakan ‘kita’ menyedari ia tua dari saya.

    “Mau kita kan tua macam kadiaku ani?”

    Ia mengangis teresak-esak mendengar soalan saya ini. Benar-benar ia tidak mahu jadi muda.

    “InsyaAllah,” kata saya, “tani bausaha Allahlah yang menyembuhkan. InsyaAllah.”

    Saya bertafakur – Al-Fatihah boleh dibaca dengan beberapa cara saya memohon petunjuk Allah cara manakah yang selulu untuk masalah ini. Saya tidak tahu apa-apa. Allah tahu segala-galanya.

    Semasa memberi air yang sudah dijampi saya sempat bertanya: “Kenapakan kita inda mau muda lagi?”

    “Takutku bah,” katanya. “Karang bila sudah jadi kanak-kanak tapaksa ku basakulah lagi tu.”

    Ia mula menangis lagi dan meraung: “INDA KUMAU BAH BALIK BASAKULAH ATU!”

selasa 15/7/2008

____________________________________________________________

ADOI

IA mengambil suratkhabar berharga lapanpuluh sen. Sambil memberi  wang not limapuluh ringgit ia berkata: “Sori ah taukeh, indada usin pacah.”

“Tak apa, tak apa,” kata taukeh. “Telima kasih ah.”

“Ya, sama-sama,” katanya baki yang diterimanya berjumlah $99.20 sen. Ia mengiranya semula ya betul $99.20 sen! Ragu-ragu ia berjalan dahinya sedikit berkerut. Sekarang ia tidak yakin apakah ia telah memberikan wang limapuluh ringgit ataukah seratus ringgit. Ia meyakinkan dirinya: ya, memang seratus ringgit. Tak perlu dipulangkan limapuluh ringgit ini. Tak perlu difikirkan lagi.

Ia merasa bahawa hari ini adalah hari yang baik sekali. Lalu ia pun berniat akan melakukan kebaikan. Di kedai kopi ia belanja beberapa orang temannya yang kebetulan minum di situ.

“Bah odartah apa saja,” katanya, “asal jangan labih limapuluh ringgit!”

       Keluar dari kedai kopi ini ia menyaksikan seorang lelaki merenggut beg tangan seorang perempuan tua. Ini juga peluang untuknya melakukan kebaikan.

“Pencuri! Pencuri!” pekik perempuan tua. “Pencuri!”

         Ia mengejar pencuri ini diikuti oleh beberpa orang lain yang juga memekik: “Pencuri!Pencuri!” Ia memecut laju masuk lorong keluar lorong. Orang lain jauh ketinggalan. Kakinya tersandul batu ia rebah. Pencuri lepas entah ke mana. Orang yang ikut mengejar menangkapnya. Memayok tangannya ke belakang. Beberapa orang sempat menumbuk mukanya sehingga biru lebam.

“Oi! Oi! Adoi!” ia memekik kesakitan. “Bukan aku pencuri!”

jumaat 11/7/2008

____________________________________________________________

80+

DENGAN  mata yang tidak berkedip-kedip ia memandang perempuan ini. Inilah perempuan yang paling cantik, paling manja yang pernah melayaninya. Entah senghaja atau tidak perempuan kecil molek ini mengeselkan lengannya kepada lengannya sambil meletakkan minumannya dari sisi kirinya.

“Silahkan minum yaah,” kata perempuan ini, seolah-olah berbisik di telinganya, dengan senyuman yang manis. Lunak sekali suaranya ketika menyebut ‘yaah’ itu.

Kalau boleh ia ingin minum dan dilayani perempuan ini setiap hari. Rasanya ia ingin sekali berkahwin dengan perempuan ini, tidur bersama dan berkasih-sayang dengannya. Ia pun berkata kepada lelaki kawannya minum ini.

“Esok bawa ku lagi minum ka mari ah.”

“Bah mana sajatah kita – anu saja, awal-awal basadia pasal kan mengantar anak ka sekulah dulu.”

“Jangan kau lupa ah.”

“Inda kulupa tu InsyaAllah.”

“Nyaman bah minumannya di sini ani.”

Esoknya lelaki kawannya minum ini bersama anak singgah ke rumahnya awal pagi dan mendapatinya belum bersedia lagi. Ia cuma berkain sarong dan bersinglet sedang menikmati sarapan paginya.

“Eh, inda kita jadi ikut ke bandar?”

“Ke bandar?”

“Kita jua kan ke bandar minum di restoran.”

“Minum di restoran?”

“Lupatah kita tu.”

“Lupa apa?”

“Bah jalan tah kami dulu,” lalu lelaki ini menyalami dan mencium tangannya. “Lain kali saja kalau kita sudah ingat.”

Lelaki ini menyuruh anaknya menyalaminya juga. Anak kecil menyalaminya seperti yang pernah diajarkan kepadannya.

Di kereta anak kecil ini bertanya:

“Babah, berapakan umur atuk atu?”

“Eighty plus kali.”

jumaat 11/7/2008

____________________________________________________________

ATOM

KETIKA  sudah tua bangka seperti ini – setiap hari yang berlalu saya merasa bertambah kerdil dan kecil. Saya sangat malu pada diri sendiri kerana pernah berani menganggap diri ini seorang penulis dan pernah pula merasa bangga kerana pencapaian yang tidaklah seberapa. Saya malu kerana masih merasa bangga diri dengan wujudnya website ini. Kerana itu setiap hari saya ingin menghilangkan diri saya, saya semakin mengecil dan terus mengecil dari hari yang sebelumnya hinggalah ketika ini saya sudah menjadi setitik noktah. Jika orang bertanya ke mana hilangnya mussidi? Jawablah begini bagi diri saya:

“Anu ya – dalam proses menjadi atom.”

 

 

khamis 10/7/2008

_________________

foto istimewa/sumber facebook

Related Post